Kaji kanabis bagi perubatan

BANGKOK 24 Ogos – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta rakan sejawatnya dari Thailand mengkaji kemungkinan Malaysia membekalkan negara itu dengan daun dan pokok ketum mentah.

Khairy, juga berharap Malaysia dan Thailand akan terus saling bertukar pengetahuan teknikal dan penyelidikan klinikal untuk memastikan keselamatan serta keberkesanan produk kanabis dalam perubatan.

Katanya, Malaysia berminat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kanabis terutama dalam aspek aplikasi berasaskan penyelidikan dan produk farmaseutikal untuk kegunaan perubatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatannya, Anutin Charnvirakul, di sini, semalam.

Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada Anutin yang mempelawanya mengetahui potensi penggunaan kanabis dan ketum serta kerangka kerja undang-undang untuk kegunaan perubatan.

“Tahniah kepada Anutin dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand yang berjaya mengubah kanabis menjadi sesuatu yang membawa manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat Thailand,” katanya.

Sebelum itu, Khairy melawat Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan diberi taklimat mengenai dasar perubatan kanabis di Thailand, termasuk amalan, kaedah penanaman dan penyelidikan serta penggunaan kanabis dan ketum untuk tujuan kesihatan.

Pada 9 Jun lalu, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk perubatan.

Khairy berkata, mereka turut berbincang mengenai potensi dan peluang Thailand membekalkan Malaysia produk kanabis melalui GPO untuk tujuan penyelidikan klinikal bagi keselamatan dan keberkesanan penggunaan produk kanabis.

Ditanya sama ada Malaysia bercadang membenarkan penggunaannya untuk tujuan perubatan, Khairy berkata “jika ada bukti klinikal yang membolehkannya.

“Antara ilmu penting yang diperoleh daripada pengalaman di Thailand ialah mengenai data klinikal dan data yang dikumpul sejak penggunaan kanabis untuk perubatan.

“Sekiranya berpuas hati dengan data itu, ia akan mempengaruhi kami membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment