Singapura mansuhkan pelitup muka

SINGAPURA 24 Ogos – Mulai Isnin ini, 29 Ogos, pemakaian pelitup muka di Singapura tidak lagi diwajibkan kecuali dalam pengangkutan awam dan di kemudahan jagaan kesihatan, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong.

Katanya, pelitup masih perlu dipakai dalam MRT, LRT dan bas awam, serta di dalam kemudahan pengangkutan awam, seperti tempat naik bas di pusat pertukaran bas dan platform MRT.

Kementerian Kesihatan (MoH) dalam kenyataan media berasingan berkata, peraturan memakai pelitup akan dikekalkan bagi kemudahan jagaan kesihatan, rumah jagaan dan ambulans.

Ini termasuk rumah kebajikan bagi warga emas, serta rumah jagaan dewasa kurang upaya. 

MoH juga mengemas kini peraturan untuk pengembara yang tidak divaksin, menggugurkan keperluan kuarantin tujuh hari mulai minggu depan.

Singapura, yang juga hab kewangan dan perjalanan utama Asia, menarik balik kebanyakan sekatan wabak, termasuk sekatan perjalanan, awal tahun ini.

Kira-kira 70 peratus daripada 5.5 juta penduduk negara itu telah dijangkiti Covid-19 dan kadar jangkitan semula setakat ini sangat rendah.

Lebih 90 peratus penduduknya pula sudah divaksin dan mempunyai antara kadar kematian Covid-19 yang terendah di dunia.

Bagi para pekerja dalam sektor-sektor tertentu, mereka masih dikehendaki memakai pelitup, misalnya pengendali makanan selaras dengan syarat-syarat kebersihan Agensi Makanan Singapura (SFA). 

Menurut MoH, pemakaian pelitup kekal sebagai kaedah yang berkesan untuk mengurangkan risiko penularan penyakit.

“Walaupun kita sekarang berada dalam keadaan pandemik di mana pemakaian pelitup tidak diwajibkan di banyak tempat, orang ramai digalakkan supaya terus berjaga-jaga dan bersikap bertanggungjawab, seperti memakai pelitup di tempat-tempat ramai orang, atau apabila menziarahi atau berinteraksi dengan individu-individu yang mudah jatuh sakit.” kata MoH.

Para pakar menasihatkan warga emas dan individu yang mempunyai daya imun yang lemah supaya terus memakai pelitup di tempat-tempat tertutup yang sesak untuk mengurangkan risiko jangkitan sebarang penyakit pernafasan.

Related posts

Leave a Comment