LONDON – Tindakan yang didakwa menyokong pembersihan etnik terhadap warga Palestin mendorong, Britain, Perancis dan Kanada mengambil langkah menyekat serta mengharamkan barangan import dari kawasan penempatan haram Israel di Tebing Barat.
Menteri Luar Britain, Ed Miliband, menegaskan di Parlimen, kerajaan Britain bersetuju mengenai kewujudan tindakan pembersihan etnik di Tebing Barat yang dilancarkan oleh kelompok peneroka haram, sambil mengecam sikap berdiam diri kerajaan Israel.
Menurut Miliband, paling kerap berlaku, kerajaan Israel menutup mata terhadap perkara ini dan lebih teruk lagi, terdapat ahlinya yang mengeluarkan kenyataan serta mengambil tindakan menyokong pengusiran paksa warga Palestin.
Pengumuman sekatan perdagangan itu dikeluarkan secara bersama menerusi kenyataan menteri luar dari 12 negara Barat dan Eropah termasuk Denmark, Finland, Iceland, Ireland, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol serta Sweden.
Lebih 500,000 warganegara Israel kini menetap di penempatan haram di Tebing Barat yang dikelilingi kira-kira tiga juta penduduk Palestin, manakala serangan tentera dan peneroka haram Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 1,105 warga Palestin di wilayah itu sejak perang Gaza meletus?
Penempatan haram Israel di Tebing Barat terutamanya mengeksport produk pertanian seperti kurma, anggur, avokado, buah-buahan sitrus, produk kosmetik Laut Mati serta barangan perindustrian.
Langkah tegas negara-negara berkenaan bagaimanapun mencetuskan kemarahan Tel Aviv yang bertindak balas serta-merta dengan mengarahkan penutupan konsulat Britain di Baitulmuqaddis.
Tel Aviv turut melarang 12 warganegara Britain termasuk ahli Parlimen parti pemerintah daripada memasuki Israel.
