Mahkamah gantung tugas PM Thailand

BANGKOK 24 Ogos – Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha daripada melakukan semua tugas rasminya bermula hari ini

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar petisyen bagi menyemak semula kesahihan tempoh penggal lapan tahun beliau sebagai Perdana Menteri.

Mahkamah memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan bertulis kepada media dan belum dapat dipastikan bila keputusan muktamad mengenai jawatan Perdana Menteri akan dibuat berhubung petisyen yang difailkan parti pembangkang utama.

Prayuth mengambil alih kuasa pada 2014 menerusi rampasan kuasa tentera yang didalangi beliau bagi menggulingkan kerajaan dipilih rakyat.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, berkata

Prayuth kekal Perdana Menteri Thailand bagi tempoh dua tahun lagi.

Bekas ketua tentera berusia 76 tahun itu berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bersedia menggantikan Prayuth sekiranya mahkamah menetapkan Perdana Menteri itu sudah terlalu lama memegang kuasa.

“Bagaimana saya boleh bersedia? Saya tidak pernah memikirkannya.

“Perdana Menteri akan terus kekal untuk tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada pemberita.

Prawit yang terkenal sebagai pempengaruh kuasa di belakang tabir bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada tempoh dua tahun itu termasuk pilihan raya yang mana Prayuth perlu mengadakannya dalam tempoh 10 bulan akan datang.

Parti pembangkang, Pheu Thai sebelum ini meminta mahkamah membuat ketetapan yang jelas berhubung tempoh had jawatan Prayuth selama lapan tahun, sama ada ia termasuk ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada era pentadbiran junta.

Pheu Thai, parti pemerintah yang ditumbangkan Prayuth sebelum ini berkata, had tempoh jawatan Prayuth berakhir 23 Ogos, lapan tahun selepas beliau dinamakan junta sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, penyokong Prayuth percaya tempoh lapan tahun itu terpakai selepas pengisytiharan Perlembagaan baharu pada 2017.

Related posts

Leave a Comment