Detik duka kepada UMNO

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Detik duka kepada UMNO tetapi semangat Najib Razak tidak akan pudar dan perjuangan UMNO tetap segar.

Itu penegasan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berharap, Najib diberikan ketabahan dan kekuatan dalaman dalam menghadapi dugaan ini.

“Kami berada di luar dan dalam mahkamah turut berasa sangat hiba, ada yang sebak dan teresak-esak menangis dari hati yang luhur. Namun ini tidak bermakna kami berputus asa.

“Sebagai pejuang tulen tidak mudah beliau patah semangat dan berjuang terus berjuang.

“Kami percaya ada malam yang gelap pasti akan ada siang yang cerah. Masa akan menentukan segalanya. Buat Datuk Seri Najib Razak dan ahli UMNO sekalian ingatlah ayat 40 surah al-Taubah, Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita,” katanya.

Menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi, Zahid berkata, Biro Politik UMNO akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

“Kita akan bertindak rasional terus akur dengan kehendak keputusan parti. Biro Politik akan diadakan dalam masa paling terdekat. Tiada pengkhianatan sesama kita! Kita tahu yang mana lawan dan kawan sebenar!

“Bak kata ungkapan Usman Awang, Di belakang duri di depan api, Kita tak bisa undur lagi Duri dan api, tajam panasnya kita hadapi. Kebulatan ikrar tak akan berubah,” katanya.

Maka ayuh kita bangkit mengharungi onak dan duri, api perjuangan kita terus semarakkan. Marilah kita bangkit bersatu hati dan tenaga agar perjuangan Datuk Seri Najib terus menyala-nyala,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, apabila mahkamah mengekalkan keputusan sabitan ke atas Najib, ia menjadi detik duka kepada UMNO.

Beliau bagaimanapun menegaskan, semangat Najib tidak akan pudar dan perjuangan UMNO tetap segar.

Related posts

Leave a Comment