UMNO Pahang turut bersedih

KUANTAN 24 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Pahang menzahirkan rasa sedih berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersalah terhadap Ahli Parlimen Pekan Najib Razak.

Pengerusinya, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata UMNO Pahang mendoakan semoga bekas Perdana Menteri itu dan keluarga dikurniakan ketabahan, kekuatan serta kecekalan untuk menghadapi ujian yang cukup berat itu.

“Bagi kami, amat besar jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Datuk Seri (Najib) dalam membangun dan memajukan negeri Pahang serta negara ini sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang satu ketika dahulu.

“Justeru, kami amat menghargai setiap jasa, keringat dan sumbangan yang telah beliau curahkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, Wan Rosdy berkata, perjuangan dan komitmen tidak berbelah bahagi Najib dalam mempertahankan parti dan membongkar penipuan serta putar belit pihak lawan sentiasa menjadi inspirasi kepada UMNO Pahang.

“Insya-Allah, Parlimen Pekan akan terus dijaga, diurus tadbir dan diberi perhatian sewajarnya demi manfaat rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment