Bajet pemulihan pasca Covid-19

PUTRAJAYA 23 Ogos  – Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 dirangka berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat meliputi segenap lapisan masyarakat dengan tumpuan kepada pemulihan pasca Covid-19.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, antara tumpuan ialah pemulihan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mempertingkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan, dengan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.

“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan,” katanya ketika berucap pada penutupan Majlis Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, tumpuan penyediaan Bajet 2023 adalah supaya semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan depan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal.

Mengulas mengenai sesi konsultasi itu pula, Perdana Menteri berkata, beberapa isu dan cadangan dikemukakan seperti pemberian subsidi dan perlindungan sosial, kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri, termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan serta meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi serta digitalisasi dalam perniagaan.

“Terdapat juga cadangan memperkukuh kerjasama pelbagai pihak bagi mempercepatkan pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 pada peringkat nasional.

“Jalinan kerjasama ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosioekonomi Keluarga Malaysia. Cadangan ini selari dengan bidang fokus bajet dan akan diperincikan untuk dirangka langkah Bajet 2023 yang sesuai,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perbincangan melalui sesi konsultasi itu menjadi titik permulaan kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif untuk memperhalusi input Bajet 2023.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang terpilih.

“Sebagai pelengkap kepada Majlis Konsultasi Bajet pada hari ini, seluruh Keluarga Malaysia dijemput mengemukakan cadangan dalam Portal Cadangan Bajet 2023 dengan melayari laman web Kementerian Kewangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment