Rugi RM261,000 ditipu ‘pelaburan’

JOHOR BAHRU 24 Ogos – Seorang jurutera warga tempatan berusia 40 tahun menanggung kerugian RM261,000 setelah diperdaya penipuan bagi pulangan pelaburan kupon tidak wujud, awal bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu kelmarin.

Jurutera itu memaklumkan, dia berkenalan dengan suspek iaitu seorang lelaki tempatan menerusi aplikasi Tinder pada awal Julai lalu.

Pada pertengahan bulan sama, mangsa diperdayakan untuk membeli kupon yang dijual oleh suspek selepas suspek berjanji, bahawa mangsa akan mendapat pulangan wang sebanyak lima peratus dan modal dalam tempoh 30 minit selepas pembayaran pembelian kupon dibuat.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, Fariz Ammar berkata, mangsa kemudian menggunakan wang simpanannya melakukan 17 transaksi pemindahan secara dalam talian ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.

Katanya, mangsa turut diberi pautan laman web untuk melihat keuntungan yang bakal diperoleh namun pautan tersebut tidak dapat diakses oleh mangsa.

“Lebih malang lagi suspek gagal dihubungi selepas itu mengakibatkan mangsa kerugian RM261,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pihaknya turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila berurusan dengan orang yang tidak dikenali, atau dikenali secara maya termasuk apabila melakukan transaksi dalam jumlah yang besar.

Related posts

Leave a Comment