“Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya”

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dr Abd Latiff Ahmad menafikan wanita yang dikaitkan dalam laporan berita tular berkaitan siasatan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) itu adalah isterinya.
“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS), saya menegaskan bahawa Zainab Mohd. Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.
“Sebagai anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya.
Sebelum ini,  Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendedahkan syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Dr. Abd Latiff.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki seorang wanita Zainab Mohd Salleh yang didakwa sebagai isteri Dr Abd Latiff, ketika itu Timbalan Menteri Pertahanan.
Beliau mendakwa, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Dr Abd Latiff.
“Beliau (Dr Abd Latiff) adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Menteri Pertahanan ketika itu ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman LCS juga mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.
“Kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (“offshore”) dan tidak boleh dijejaki.
“Kewujudan Alizes Marine Limited hanya diketahui apabila pangkalan data syarikat pesisir luar pantai dibocorkan pemberi maklumat sehingga menjadi skandal besar dunia (dikenali sebagai Panama Papers dan Paradise Papers),” katanya.
Rafizi mendakwa, wanita berkenaan juga adalah pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited yang turut memegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.
“Kertas siasatan dalaman LCS menerangkan secara jelas pembabitan syarikat Alizes Marine yang menyelewengkan dana kapal perang LCS,” katanya.
Beliau mendakwa, ada beberapa bentuk penyelewengan berlaku termasuk syarikat berkenaan dilantik menjadi juru runding teknikal walaupun mereka tiada kepakaran kepada projek.

 

 

 

Related posts

Leave a Comment