Munajat Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA 22 Ogos – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob malam tadi menyertai hampir 10,000 jemaah di Masjid Putra di sini untuk solat hajat dan berzikir pada program Munajat Keluarga Malaysia.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu diadakan bersempena setahun Ismail Sabri menerajui kerajaan.

Beliau yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad sebelum itu menunaikan solat Isyak berjemaah.

Turut serta ialah beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa serta Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Solat Isyak diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali manakala solat hajat pula diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan  Dr Luqman Abdullah.

Ia disusuli bacaan zikir munajat dan qasidah dipimpin secara bersama oleh beberapa selebriti terkenal seperti Munif Ahmad.

Tausiah disampaikan pendakwah bebas Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid manakala bacaan doa Keluarga Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan kepada 20 buah pusat tahfiz, pondok, institusi kebajikan dan rumah anak-anak yatim.

Munajat Keluarga Malaysia itu turut dijalankan serentak di enam lokasi iaitu Putrajaya, Kedah, Pahang, Sabah, Sarawak dan Johor.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos 2021.

Related posts

Leave a Comment