Mitos cerita lama dan politik

KUALA LUMPUR 22 Ogos –  Jangan menggunakan alasan takut Parlimen tergantung seperti cuba dikhabarkan sebelum ini, bagi menghalang pilihan raya umum (PRU) diadakan, tegas Presiden UMNO,  Ahmad Zahid Hamidi.

Melalui satu status terbaharu di Facebooknya hari ini bertajuk Memecahkan Mitos Politik Parlimen Tergantung, Ahmad Zahid merujuk kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai ‘Parlimen tergantung’.

“Maksud mitos ialah cerita-cerita lama yang dianggap benar, namun tidaklah benar atau direka-reka. Mitos politik pula ialah menceritakan perkara yang kurang benar malah boleh dibuktikan sebaliknya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, seorang penganalisis politik baru-baru ini (semalam) jelas menyatakan tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku Parlimen tergantung.

Semalam, Profesor Sains Politik dan Demokrasi dari Sunway University,  Dr Wong Chin Huat memberikan pencerahan mengenai isu Parlimen tergantung dalam Simposium Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri.

Katanya, profesor tersebut menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku hung Parliament atau Parlimen tergantung.

Ahmad Zahid merujuk kenyataan Dr Wong bahawa, Parlimen tergantung bukan situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu, malah  tidak menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk.

“Sebaliknya, kita perlu ada pemahaman politik komparatif yang lebih dalam sistem politik. Kerajaan New Zealand 1996-2020 terbentuk daripada itu akan tetapi tetap maju dan stabil.

“Autoriti pencerahan oleh Profesor Sains Politik tersebut mampu memberikan pencerahan dan membuka mata hati pemahaman mitos politik semasa,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment