Saingan sengit di kawasan majoriti Melayu

KUALA LUMPUR 21 Ogos – PKR dijangka menghadapi saingan sengit dan rumit bagi kawasan majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, penilaian mendapati kebanyakan kerusi dikuasai PKR ketika ini berada dalam kelompok majoriti tipis atau marginal dan keputusannya boleh memihak kepada sesiapa pun.

Katanya, semasa PRU lalu, tumpuan banyak diberikan kepada kerusi sedemikian dan akhirnya ia dikuasai oleh Amanah dan DAP.

“Maka boleh disimpulkan kerusi marginal berupaya boleh menentukan kedudukan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Trak Ayuh Malaysia di Wangsa Maju di sini, malam tadi.

Trak Ayuh Malaysia adalah platform PKR menjelajah setiap kawasan Parlimen dan negeri dan buat masa ini dilakukan pada hujung minggu membabitkan tiga kawasan Parlimen sehari, menjadikan jumlahnya enam kawasan setiap Sabtu dan Ahad.

Pendekatan melalui Trak Ayuh Malaysia dilihat boleh membentuk kelompok pengikut tersendiri dan berupaya membentuk keyakinan serta membina persepsi golongan sasar, terutama menerusi kempen digital.

“Sejak 2018, kita dapati ceramah bukan lagi kaedah kempen paling berkesan tetapi digital. Kita dapat dalam dua hingga tiga juta penonton di medium dalam talian setiap bulan dan mereka memahami garis masa apa yang berlaku, “ katanya.

Beliau yakin kempen di pelbagai platform media sosial akan lebih berkesan bagi menghadapi PRU-15.

Related posts

Leave a Comment