PRU selepas setahun PM Ismail Sabri

GENAP juga setahun Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan Perdana Menteri (PM) di sebalik desakan supaya diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Rasanya hampir separuh tempoh setahun itu kedengaran desakan mengenai PRU.

Tahniah kepada Ismail Sabri kerana berjaya mengharungi ‘situasi luar biasa’ ini sehingga memungkinkan beliau mencapai usia setahun.

Namun semalam, menjelang setahun Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri Keluarga Malaysia, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi tampil mengeluarkan kenyataan supaya menyegerakan PRU15.

Kata Ahmad Zahid : “Segerakanlah atau UMNO, BN (Barisan Nasional) akan tewas PRU,” sambil menyifatkan sekarang adalah waktu terbaik untuk ia diadakan. Kenyataan itu umpama ‘kata dua’ kepada Ismail Sabri.

Menurut pandangan Pengerusi BN itu, tindakan melengahkan PRU bermakna parti itu memberi senjata kepada musuh untuk terus menyerang.

Bagaimanapun dalam temu bual Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri di Seri Perdana semalam, Ismail Sabri berkata, sama ada PRU tahun ini atau tahun depan, banyak pertimbangan perlu dibuat.

Kata PM, keutamaan kerajaan sekarang ialah menyelesaikan pelbagai isu rakyat dan negara termasuk isu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang belum diketahui kesannya serta cabaran kelembapan ekonomi dunia yang diramal tahun depan.

Beliau berpandangan, bahawa PRU15 boleh diadakan sekiranya kedua-dua faktor isu dan ekonomi dapat diseimbangkan.

“… kita takut tentang ketidaktentuan ekonomi tahun depan (dan) kalau kita tunggu lagi susah, mungkin tahun ini.

Tetapi kalau kita kata tahun ini, isu-isu terlampau banyak berlaku sekarang dan banyak perkara yang perlu diselesaikan. Sebab itulah agak sukar untuk membuat penentuan,” katanya yang pada masa sama mengulangi ayat “PRU semakin dekat”.

Kenyataan Ismail Sabri itu sudah tentu tidak menjawab desakan Ahmad Zahid kerana temu bual itu mungkin dibuat lebih awal. Maka tidak hairanlah kenyataan PM mengundang reaksi yang tidak baik terhadap isu PRU ini.

Ada bekas pemimpin UMNO yang mendakwa kenyataan Ismail Sabri berkaitan PRU itu tidak menghormati keputusan majoriti ahli parti, begitu juga dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Disebabkan itu, ada yang mencadangkan Naib Presiden UMNO itu dihukum. Nampaknya, setahun sebagai PM, Ismail Sabri sejak beberapa bulan lalu terpaksa berdepan dengan asakan dalaman supaya menyegerakan PRU.

Ketika PRU dikatakan untuk mewujudkan kerajaan yang lebih stabil, ada pula pihak yang berkata jika diadakan lebih awal ia bertujuan menyelamatkan kluster mahkamah. Begitulah situasi berkaitan PRU.

Setiap parti yang menyertai PRU sudah tentu mengharapkan kemenangan untuk memerintah. Masing-masing ada strategi. Kelebihan kepada pihak yang berkuasa kerana boleh menentukan bila Parlimen perlu dibubarkan untuk mengadakan PRU.

Bagi mengelakkan dirinya terus dipersalahkan, adakah Ismail Sabri sudah bersedia memuktamadkan bila ‘butang akan ditekan?’. Sudah lama gendang dipalu. Jika PRU berlangsung, sekurang-kurangnya Ismail Sabri sudah melepasi setahun sebagai PM.

Ismail Sabri merupakan PM ketiga yang dilantik dalam tempoh tiga tahun sejak PRU14 pada 9 Mei 2018, selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi PM kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan tumbang pada Februari 2020.

Muhyiddin Yassin yang menerajui Perikatan Nasional (PN), kemudiannya mengambil alih kepemimpinan kerajaan sehingga Ogos 2021.

Situasi yang berlaku hari ini tidak mungkin memberi peluang kepada Ismail Sabri menggenapkan dua tahun sebagai Perdana Menteri kerana mandat lima tahun kerajaan semasa akan tamat pada Julai 2023 .

Jangan hanya kerana ‘tidak melayani’ desakan supaya menyegerakan PRU, kepemimpinan UMNO bermasam muka sedangkan pembangkang khususnya PH sedang memerhati situasi ini serta menampakkan kesungguhan menyerang dan menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan pimpinan UMNO.

Persoalannya, adakah UMNO juga benar-benar bersedia? Bersedia untuk menang dengan majoriti yang lebih selesa bagi membentuk kerajaan? Mungkin itu sudah jatuh No. 2 kerana perkara utama adakan PRU.

Pada masa yang sama, jika Kabinet perlu dirujuk, adakah parti lain iaitu PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bersama membentuk kerajaan Keluarga Malaysia juga bersedia?

Sama-sama kita tunggu pendirian PM. Adakah benar Parlimen akan dibubar pada September dan PRU15 pada bulan berikutnya, Oktober.

Related posts

Leave a Comment