Dos 1: 7 negeri lepasi 50% populasi

PUTRAJAYA 4 Ogos – Setakat semalam, tujuh negeri dan wilayah melepasi 50 peratus populasi dewasa dalam pemberian dos pertama vaksin Covid-19, iaitu

Selangor dan Kuala Lumpur 97.8 peratus, Labuan (95.3%), Sarawak (85.2%), Negeri Sembilan (74.5%), Perlis (64%), Pulau Pinang (58.9%) dan Melaka (52.2%).

Menurut data dikongsikan Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), negeri yang telah melepasi 50 peratus dengan lengkap dua dos vaksin adalah Labuan 82.7 peratus dan Sarawak 68 peratus.

Manakala perbandingan antara kadar pemberian vaksin dengan jumlah populasi dewasa pula menyaksikan Wilayah Persekutuan Labuan berada pada tahap 82.7 peratus, disusuli Sarawak (68 peratus), Perlis (44.2 peratus), Negeri Sembilan (41.4 peratus), Lembah Klang (41.3 peratus), dan Melaka (28.8 peratus).

Bagaimanapun kadar pemberian vaksin di seluruh negara mencatatkan penyusutan apabila kekal berada di bawah paras 500,000 dos untuk tiga hari berturut-turut.

Menurut perangkaan JKJAV menunjukkan sebanyak 483,368 dos vaksin diagihkan  semalam dengan 240,394 membabitkan dos pertama, manakala 242,974 lagi dos kedua manakala kadar inokulasi yang dicatatkan kelmarin dan Ahad lalu, masing-masing ialah 468,526 dos serta 480,122 dos.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsan (PICK) dilaksanakan pada 23 Februari lalu, sebanyak 22,152,367 dos vaksin diberikan yang meliputi 4,711,532 dos pertama, manakala 7,440,835 ialah dos kedua.

Sekiranya dihitung, jumlah pemberian dos kedua vaksin di seluruh negara setakat semalam mewakili 22.8 peratus daripada populasi di Malaysia dan mencecah 31.8 peratus daripada jumlah individu dewasa di negara ini.

Mengikut pembahagian negeri, Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur dan Selangor mendahului jumlah pemberian vaksin dengan 8,574,506 dos, diikuti Sarawak (3,129,355 dos) dan Johor (1,706,376 dos).

Related posts

Leave a Comment