Dua senario peralihan jawatan PM

SINGAPURA 16 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata belum ada ketetapan tarikh untuk beliau menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, tetapi mungkin tidak lewat daripada 2025 atau lebih awal.

Wong yang juga Menteri Kewangan membayangkan demikian semasa menjawab pertanyaan Ketua Pengarang Berita Bloomberg John Micklethwait mengenai bilakah beliau akan mengambil alih jawatan daripada Perdana Menteri.

Dalam temu bual pada 15 Ogos lalu, Wong menjelaskan mengenai dua senario berkaitan peralihan itu.

Menurut laporan berita itu, senario pertama menjangkakan Wong mengambil alih jawatan perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum, yang dijadual diadakan selewat-lewatnya November 2025.

Jika ini berlaku, Wong berkata beliau “pastinya akan mengetuai” People’s Action Party (PAP) dan generasi keempat pemimpin politik, atau pasukan 4G, dalam pilihan raya itu.

Sebagai alternatif, beliau berkata Lee akan terus memimpin parti dalam pilihan raya akan datang sebagai perdana menteri, dan kemudian melepaskan jawatan kepadanya “jika PAP menang”.

“Ini adalah pilihannya, tetapi kami masih belum membuat keputusan mengenai tempoh masa sebenar,” kata Wong.

Wong dalam pada itu berkata beliau mahu mula memikirkan tentang usaha menyusun pasukan, bagaimana mahu menangani keutamaan segera dan memanfaatkan masa ini untuk menyesuaikan dirinya dengan tanggungjawab dan portfolio baru yang lebih luas.

Merujuk kepada siri drama popular Netflix, di mana peserta disingkirkan  semasa mereka bersaing sengit untuk mendapatkan hadiah, Encik Micklethwait menarik perhatian bahawa Encik Wong kelihatan seolah-olah memenangi peraduan seakan-akan Squid Game untuk menerajui Singapura. 

(FOTO MoF Singapore)

Related posts

Leave a Comment