Tiada perbincangan Bersatu tarik sokongan

PUTRAJAYA 6 Ogos – Tiada sebarang perbincangan untuk Bersatu menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan yang diterajui Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, ketika ini.

Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin berkata, parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN) itu berkata, partinya  juga tidak akan sewenang-wenangnya menarik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan sehingga perbincangan lanjut diadakan.

Beliau mengulas isu berkaitan susulan tindakan Ismail Sabri membatalkan pertemuan bersama PN pada saat akhir, baru-baru ini.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan isu pelantikan wakil Bersatu ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, yang didakwa dipersetujui Ismail Sabri sebelum mengambil alih pentadbiran negara daripada Muhyiddin Yassin.

Radzi berkata, pihaknya ketika ini masih belum menerima sebarang makluman mengenai alasan Ismail Sabri bertindak membatalkan pertemuan bersama PN itu.

“Kita tak sebut akan ‘simply’ (sewenang-wenangnya) tarik sokongan (terhadap Kerajaan Persekutuan), sebaliknya akan tunggu dan lihat apakah perkara akan disentuh dalam perbincangan itu nanti,” katanya selepas menghadiri Kejohanan Olahraga Tahunan Keenam Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di sini.

Beliau berkata, apa yang paling penting sekarang untuk memberi tumpuan kepada keadaan negara dalam konteks memberi fokus ke atas usaha transformasi pendidikan.

“Ini adalah fokus kita kepada rakyat bagi memastikan masyarakat sentiasa menerima yang terbaik dalam sebarang tempoh kita ada sebagai kerajaan. Pelaksanaan adalah lebih penting (berbanding jawatan Timbalan Perdana Menteri),” katanya.

Related posts

Leave a Comment