Keputusan sertai politik ‘sukar’

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Keputusan untuk memasuki arena politik adalah satu keputusan yang sukar tetapi amat diperlukan untuk terus berkhidmat kepada negara, kata Menteri Kewangan Tengku  Zafrul Abdul Aziz.

“Jika anda mahu terus berkhidmat untuk negara, anda perlulah menyertai politik secara aktif,” katanya dalam satu wawancara dengan Cable News Network (CNN), yang disiarkan Bernama semalam.

Beliau berkata selaku seorang senator sekarang ini tempoh perkhidmatannya terhad kepada enam tahun sahaja.

Bekas Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) diumumkan sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac 2020 ketika Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi menjawat jawatan itu.

Pada 27 Ogos tahun lalu, beliau dilantik semula sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet baharu yang dibentuk Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Zafrul, tumpuan beliau sekarang ialah meneruskan pembaharuan fiskal dan untuk meneruskan dalam jangka masa panjang beliau memutuskan untuk memasuki arena politik dan memainkan peranan dalam sebuah parti politik.

Walaupun keputusan itu mungkin bukan sesuatu yang popular, Tengku Zafrul berkata ia keputusan yang tepat dan adalah penting rakyat memahami mengapa keputusan seperti itu perlu dibuat.

“Anda perlu melakukannya. Tiada pilihan untuk itu.  Masalahnya apabila membuat satu keputusan sukar anda tidak mempunyai masa dan cara terbaik ialah menyuarakannya secara elok.

Kami memerlukan pengurusan pihak berkepentingan yang lebih mantap dan kami telah melakukannya serta kami membuat banyak keputusan sukar, terutamanya semasa krisis, krisis Covid-19. Jadi saya fikir komunikasi adalah kuncinya dan yang terbaik juga ialah menumpukan kepada pembaharuan negara,” katanya.

Menteri Kewangan itu menjadi tumpun kebelakangan ini selepas desas-desus beliau akan bertanding pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) mewakili UMNO.

Malah, ada cakap-cakap bahawa bekas Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) berusia 49 tahun itu mungkin dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘poster boy’ untuk mengisi kedudukan Menteri Besar Selangor jika BN menang PRU-15 nanti.

Ketika ini, nama beliau kuat dikaitkan dengan kerusi Parlimen Kuala Selangor, namun Tengku Zafrul perlu bertanding dan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mahu diangkat menjadi Menteri Besar.

Pada 31 Julai lalu, Zafrul dilantik sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor bagi menggantikan Jamal Yunus yang dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.

Zafrul yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 25 Jun 1973, menerima pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum melanjutkan pelajaran di University of Bristol, United Kingdom dan memiliki Ijazah Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan.

Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (MA) dalam bidang Kewangan dan Pengurusan daripada University of Exeter serta Fellow Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers.

Related posts

Leave a Comment