Puncak Borneo kini ahli PBB

KUCHING 6 Ogos – Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin, sah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini, kata Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg.

Katanya, keputusan untuk menerima Willie sebagai ahli PBB, parti tunjang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dibuat hari ini tanpa sebarang komitmen.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Jalan Bako, di sini, hari ini.

Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB beberapa bulan lalu.

Beliau memenangi kerusi Parlimen itu sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari PBB, Genot Sinel.

Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR melalui ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020 sebelum bersama Bersatu .

Willie pada Jun lalu, bagaimanapun memaklumkan beliau tidak pernah menyertai Bersatu, tetapi hanya diletakkan di dalam parti itu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Abang Johari ketika ditanya mengenai Rang Undang-undang (RUU) berkaitan larangan bertukar parti, berkata Sarawak sedang mengkaji semula Perlembagaan Negeri berhubung perkara itu.

“Sarawak memang sudah ada peruntukkan undang-undang berhubung perkara itu dalam Artikel 17 Perlembagaan Negeri Sarawak, tetapi kita tak dapat melaksanakannya kerana dahulu ia bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

“GPS menyokong penuh RUU di Parlimen itu dan kita akan melihat peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak, Artikel 17 supaya ia sepadan dengan peruntukan yang diluluskan Parlimen,” katanya.

Mengenai PRU-15, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, pihaknya kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi proses demokrasi itu yang akan diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang.

“Saya mengulangi pendirian, GPS akan meletakkan calon di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment