PRU jika kerajaan tumbang

SERDANG 6 Ogos – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata jika ada pihak yang menarik sokongan kepada kerajaan dan kerajaan yang ada tumbang, maka pilihan raya perlu diadakan selepas itu.

Katanya, kerajaan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika pilihan raya umum terpaksa diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya dalam apa juga keadaan. Kalau kita masih kekal, kita pertimbangkan tarikh pilihan raya mengikut kesesuaian dan saya sudah sebutkan pilihan raya akan tetap diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini, hari ini.

Beliau mengulas satu laporan media yang menyatakan Perikatan Nasional (PN) sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Laporan itu mendakwa, sokongan itu ditarik kerana Perdana Menteri tidak menunaikan apa yang dikatakan sebagai perjanjian untuk melantik Ahli Parlimen Bersatu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan penarikan sokongan itu tidak dikeluarkan secara rasmi parti berkenaan.

Katanya, kenyataan itu hanya dibuat oleh satu dua orang saja.

“Saya pun dengar macam tu saja, ada ahli parti itu yang menyatakan perkara itu tidak dibawa ke dalam mesyuarat parti pun.

“Dari segi tindakan kita tunggu dulu keputusan rasmi parti berkenaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment