Pemilih berdaftar kini 21,113,234

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu adalah berjumlah 21,113,234 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Mas Ermieyati Samsuddin, berkata terdapat pertambahan 5.8 juta pemilih susulan penguatkuasaan had umur daripada 21 tahun kepada 18 pada 15 Disember 2021.

Menurut beliau daripada pertambahan 5.8 juta pemilih itu, 1.2 juta orang adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun.

“Pertambahan pengundi dalam kalangan generasi muda adalah wajar dan mustahak bagi kerajaan untuk memastikan golongan ini bersedia dari aspek pengetahuan dan pemupukan nilai dalam membentuk negara bangsa terutama hak mengundi sebagai rakyat Malaysia,” katanya menjawab soalanMohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, Akademi Pilihan Raya (APR) melalui kerjasama pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pertubuhan, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah mempergiat pelaksanaan Program Pendidikan Pengundi khususnya kepada golongan anak muda.

Katanya, ia termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi, masyarakat dan komuniti, acara kementerian atau jabatan dan pentauliahan kepada golongan pendidik atau mahasiswa untuk memberikan pendidikan dan kefahaman mengenai proses pilihan raya.

Related posts

Leave a Comment