Truss dahului Sunak ganti Johnson

LONDON: Calon Perdana Menteri Britain, Liz Truss terus mendahului bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak apabila memenangi sokongan anggota Kabinet Britain.

Ketika ahli Parti Konservatif mula mengundi hari ini bagi menentukan siapa bakal pengganti Boris Johnson, Truss dan Sunak terus mengatur kempen.

Sunak, yang kini ketinggalan mahu menebus ‘kekalahan’ menerusi rancangan terbarunya dengan menjanjikan pemotongan cukai pada masa depan.

Manakala Truss mengumumkan rancangan untuk menjadikan negara itu tuan rumah Piala Dunia bola sepak wanita selepas pasukan ‘Lionesses’ England memenangi kejuaraan Eropah.

Truss turut mendoakan perlawanan bola sepak akhir menentang Jerman sambil berjanji beliau akan menyalurkan semangat ‘Lionesses’ kepada ahli di Exeter, sebuah bandar di sebelah barat daya, sebelum pemenang diumumkan 5 September ini.

Truss berkata beliau mengambil iktibar daripada pasukan bola sepak wanita yang berjuang dengan berani dan menentang segala kemungkinan selain memberikan kemenangan besar-besaran.

Sunak yang sebelum ini mendahului semua lima peringkat pengundian dalam kalangan Ahli Parlimen Konservatif dalam tempoh lapan hari lalu, perlu momentum untuk bingkas bangun semula selepas Truss berada di hadapan.

Beberapa tinjauan pendapat umum sebelum ini menunjukkan hampir dua pertiga cenderung memilih Truss, dengan sekitar 40 peratus menyatakan Sunak ‘tidak boleh dipercayai’ kerana peletakan jawatannya menyebabkan Johnson tersingkir.

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Penny Mordaunt, semalam turut mengumumkan beliau menyokong Truss dengan menyifatkan wanita itu sebagai ‘calon harapan’.

Mordaunt, yang tewas pada pemilihan peringkat terakhir perdana menteri UK selepas menduduki tangga ketiga, memuji Truss kerana kejujurannya, keazaman dan cita-cita tinggi demi negara.

Related posts

Leave a Comment