Covid-19: Singapura catat 821 kematian 2021

SINGAPURA 2 Ogos – Kematian akibat Covid-19 di Singapura pada tahun lalu adalah 821, iaitu tambahan 18 kes selepas semakan oleh Kementerian Kesihatan (MoH).

Semakan itu dibuat berikutan “latihan penyesuaian tahunan” selepas Pejabat Pendaftaran Kelahiran dan Kematian memuktamadkan laporannya untuk tahun lalu.

Jumlah terbaharu itu membentuk peningkatan 2.2 peratus daripada kiraan sebelumnya. Jumlah kematian akibat COVID-19 bagi 2020 tidak berubah, kata MOH.

Lapan daripada 18 kematian tidak dilaporkan kepada MoH tetapi dilaporkan kepada Pejabat Pendaftaran.

Sebelas kematian dilaporkan kepada MoH, tetapi jangkitan Covid-19 tidak dinyatakan sebagai punca kematian tersebut, kerana doktor melaporkan punca kematian berdasarkan maklumat perubatan yang sedia ada semasa membuat laporan.

Kematian itu kemudiannya dilaporkan kepada Pejabat Pendaftaran dengan Covid-19 diletakkan sebagai punca kematian selepas semakan lanjut doktor.

Satu kematian adalah dalam kiraan MoH bagi 2021, tetapi dirakamkan dalam kiraan Pejabat Pendaftaran untuk 2022. Ini disebabkan perbezaan tarikh pelaporan kepada MoH dan Pejabat Pendaftaran kerana kematian itu berlaku pada 31 Disember 2021.

Kematian itu akan dimasukkan dalam kiraan 2022 dan bukannya 2021.

Menurut MoH lagi, lima kematian daripada laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian adalah individu yang didiagnosis dengan Covid-19 semasa berada di luar negara, dan yang meninggal dunia selepas pulang ke Singapura.

Kematian ini tidak akan dimasukkan dalam MoH yang hanya mencatat kematian akibat Covid-19 yang didiagnosis di Singapura.

Related posts

Leave a Comment