KUALA LUMPUR 2 Julai – Muhyiddin Yassin, mempersoalkan sama ada Malaysia tidak mengorbankan seinci pun wilayahnya dalam Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) antara Malaysia dan Indonesia di Blok Ambalat, kawasan perairan yang masih dalam pertikaian sempadan maritim membabitkan kedua-dua negara.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata persetujuan JDA membabitkan kawasan perairan yang kaya dengan sumber minyak dan gas itu dilaksanakan pada 27 Jun lalu, namun sehingga kini tiada penjelasan terperinci mengenai perjanjian tersebut dibuat oleh kerajaan.
“Benarkah Malaysia tidak mengorbankan seinci pun wilayahnya dalam Perjanjian Pembangunan Bersama ini? Apakah terma-terma perjanjian ini? Tidakkah ia tidak menjejaskan kedudukan Malaysia dalam tuntutan kedaulatan ke atas Ambalat?,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau telah membangkitkan isu Ambalat di Parlimen pada 13 Jun 2023 dengan meminta Perdana Menteri memberi jaminan bahawa tidak ada seinci pun tanah negara ini yang akan dikorbankan dalam rundingan dengan Indonesia berhubung Ambalat.
“Beliau bersetuju. Sehubungan itu, saya telah meminta Perdana Menteri supaya memberitahu rakyat mengenai apa-apa persetujuan yang dicapai dengan Indonesia dalam rundingan mengenai perkara ini,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu turut mempersoalkan adakah negeri Sabah telah dirunding sebelum perjanjian pembangunan bersama dipersetujui Malaysia dan Indonesia kerana pertikaian mengenai Ambalat melibatkan sempadan negeri Sabah.
“Kerjasama ekonomi serantau wajar disambut baik. Namun, sebarang bentuk perjanjian pembangunan bersama di wilayah yang masih menjadi pertikaian maritim seperti Ambalat hanya boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat yang tegas.
“Ia mesti berpaksikan prinsip undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan tidak boleh dalam apa jua bentuk dianggap sebagai penyerahan hak kedaulatan,” katanya.
Beliau berkata, Ambalat telah menjadi titik pertikaian sejak tahun 1979 dan merupakan kawasan yang dituntut secara sah oleh Malaysia.
Katanya, ia bukan sekadar zon ekonomi berpotensi, tetapi simbol ketegasan negara dalam mempertahankan sempadan maritim.
“Dalam konteks ini, apa-apa pengumuman niat untuk pembangunan bersama tanpa kejelasan syarat, tanpa mandat Parlimen dan tanpa jaminan terhadap hak negeri Sabah merupakan langkah cuai yang boleh membawa kesan jangka panjang terhadap tuntutan sah Malaysia.
“Rakyat juga berhak bertanya adakah terdapat klausa yang membenarkan Malaysia menarik diri jika haknya dinafikan? Adakah Sabah dijamin bahagian hasil atau hak mentadbir sumber tersebut? Atau adakah tindakan ini hanya akan mengukuhkan tuntutan Indonesia melalui “pengiktirafan tersirat” dalam perjanjian pembangunan bersama?,” katanya.
Beliau berkata sebarang kerjasama yang melibatkan wilayah pertikaian mesti ditangguhkan sehingga sempadan diputuskan secara sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau mana-mana saluran undang-undang yang diiktiraf.
“Kita tidak boleh membenarkan tindakan hari ini menjadi duluan berbahaya untuk masa depan dan implikasi serius jangka panjang terhadap kedaulatan negara.
“Hak dan maruah negara tidak boleh diperjudikan. Rakyat berhak menuntut penjelasan, jaminan dan keterlibatan penuh dalam sebarang keputusan yang menyentuh kedaulatan negara,” katanya.
Nnnn
