Kesan moral bagi ‘penjual maruah’

KUALA LUMPUR 27 Julai  – Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 menjadi permulaan bersejarah dalam memberi kesan kepada moral serta integriti Ahli Parlimen yang dianggap sebagai penjual maruah dan pengkhianat.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), menyatakan sokongannya terhadap larangan Ahli Parlimen bertukar parti itu walaupun ia tidak memenuhi sepenuhnya tuntutan dikemukakan PH.

Anwar berkata, pembelotan ini bukan sesuatu yang baharu sebaliknya sejak 1961 apabila kerajaan Pas Terengganu dijatuhkan, tetapi tidak menjadi pengajaran kerana parti itu kemudian bersekongkol dan mengizinkan ia berlaku.

“Ini bukan soal belot, khianat dan lompat parti sahaja, soal yang harus diketahui oleh Perdana Menteri dan diperhatikan oleh badan seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kerana ia membabitkan rasuah, penipuan dan sogokan dan pindaan ini tidak menyelesaikannya.

“Kita mahu guna pindaan ini untuk tanya SPRM kenapa sogokan ini tidak disiasat,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH tumbang, Anwar berkata, banyak laporan dibuat berhubung tindakan itu tetapi tidak ada siasatan atau kenyataan susulan dibuat oleh SPRM sehingga kini.

Jika laporan yang serius terbabit tidak dipertimbangkan, katanya, kelemahan bukan sahaja ada dari segi amalan lompat parti, malah wujud kelemahan dalam pengurusan dan kewibawaan badan penguatkuasaan termasuk SPRM.

“Kita mahu satu pengajaran kerana ada kesan dan anggapan dalam kalangan anak muda, terhakisnya keyakinan terhadap orang politik dan sistem politik kerana ada yang menganggap pilihlah sesiapa pun, dia boleh dibeli.

“Justeru, orang muda yang menyertai politik dan dilatih untuk memahami Perlembagaan serta prinsip demokrasi, terhakis keyakinannya disebabkan amalan yang berlaku,” katanya.

Menjawab celahan Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) sama ada benar selepas Pilihan Raya Umum 2008 Anwar mendakwa bakal menubuhkan kerajaan baharu sehingga beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terpaksa ‘dilarikan’ ke Taiwan, Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan, ia bukan pengkhianatan sebaliknya beberapa Ahli Parlimen menghubunginya untuk menyokong usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri ketika itu.

“Yang Berhormat Beaufort ini rabun dari segi kefahaman politik. Kalau ikutkan kenyataannya pada masa itu, beberapa Ahli Parlimen menghubungi untuk menyokong usul undi tidak percaya, jadi tidak ada kena mengena dengan lompat parti Beaufort, biar faham sikit.

“Perdana Menteri masa itu enggan mengizinkan sidang Parlimen diadakan undi tidak percaya dan Speaker seperti biasa patuh kepada Perdana Menteri.

“Ada pesawat khas bawa Ahli Parlimen belajar pertanian di Taiwan, jadi biar kita tahu faktanya. Tidak ada sogokan wang ringgit dan tidak ada jaminan kedudukan kepada mereka kerana ini 40 orang, nak jadi 40 menteri?,” katanya.

Situasi yang sama juga menurut Anwar berlaku ketika ahli Parlimen daripada blok kerajaan didakwa menyatakan sokongan kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri selepas Langkah Sheraton.

Tegasnya, tiada sebarang tawaran diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian.

“Pengakuan bersumpah yang ditandatangani dan dikemukakan kepada Yang Dipertuan Agong (sebagai) Perdana Menteri bukan untuk lompat parti, mereka kekal dalam parti mereka. Saya tidak usulkan mereka lompat parti… ramai yang ada di sini (ahli Parlimen yang didakwa menyokong).

“Saya nak tunjukkan di sini bahawa kedudukan dan integriti politik begitu parah sehinggakan pengakuan bersumpak kepada Yang Dipertuan Agong pun dipermainkan oleh mereka,” ujarnya lagi.

Menjawab celahan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,  Dr Santhara Kumar, berhubung Langkah Sheraton tercetus berikutan krisis dengan Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi), Anwar berkata, bekas Perdana Menteri itu masih menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri.

“Kalau dibangkitkan soal Yang Berhormat Langkawi, saya setuju memang Langkawi melengah-lengahkan letak jawatan tetapi apabila diusulkan nama saya, Langkawi tandatangan menyokong,” katanya.

Related posts

Leave a Comment