Reset politik kembalikan keyakinan

KUALA LUMPUR 27 Julai – Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 sebagai ‘reset’ politik bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem politik negara.

Beliau berkata, rakyat kini muak serta marah kepada ahli politik dan perkara itu dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor apabila jumlah keluar mengundi amat rendah.

“Rakyat marah dengan kita, muak dengan kita. Apa alasan sekali pun kita berikan, hari ini saya sendiri melihat kejayaan menerusi perjanjian persefahaman (MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan) adalah kejayaan ‘political resetting’ yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Ini satu hakikat kerana kalau ketua majlis tidak membenarkan melalui peraturan mesyuarat yang ada, sampai ke kiamat pun kita tidak boleh membincangkan akta ini.

Jadi, saya melihat ini adalah undang-undang pindaan Perlembagaan untuk rakyat, dari rakyat, kerana rakyat. Tidak ada kena mengena dengan kita sebagai ahli politik,” katanya ketika membahaskan RUU terbabit.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkannya mengenai RUU itu adalah jika negeri tidak mahu mengikut pindaan terbabit.

Katanya, semua pihak harus menerima hakikat bahawa kerajaan negeri dipimpin oleh Raja masing-masing dan memiliki kebebasan untuk tidak menerima pindaan berkenaan.

“Kita harus menerima cabaran paling besar dalam akta lompat parti ini ialah apabila kita membuang pindaan kepada Perkara 48(6) Perlembagaan iaitu alasan seseorang itu keluar (parti) atau digugurkan daripada kerusi, masih boleh bertanding semula. Itu adalah demokrasi, kita (perlu) memberi perlindungan.

“Apa yang penting bagi saya ialah biar rakyat menentukan siapa yang mereka hendak atau sebaliknya, tetapi jika Perkara 48 tidak diubah, kemungkinan mereka yang keluar (parti) dijadikan mangsa keadaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment