SINGAPURA 20 Julai – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang oleh National University of Singapore (NUS).
Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Presiden Singapura, Halimah Yacob, yang juga Canselor NUS di Istana pada hari ini bagi mengiktiraf sumbangan baginda terhadap hubungan dua hala antara Johor dan Singapura.
Baginda Tuanku Sultan tiba di Singapura pada pagi tadi bagi lawatan rasmi di atas jemputan Perdana Menteri, Dato’ Lee Hsien Loong.
Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda.
Pada tahun 2007, ayahanda Tuanku Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar turut dianugerahkan ijazah berkenaan oleh NUS.
Selesai majlis penganugerahan, Presiden Halimah mengadakan pertemuan dengan Tuanku Sultan Ibrahim.
Baginda bersama Keluarga DiRaja dan rombongan Negeri Johor kemudian diraikan dalam satu majlis santapan minum petang sebagai penutup kepada acara hari pertama lawatan.