2 dos: 3.97 juta nikmati kemudahan

PUTRAJAYA 9 Ogos – Seramai 3.97 juta penduduk yang lengkap divaksinasi di negeri dalam Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), setakat semalam, bakal menikmati manfaat kemudahan yang berkuat kuasa 10 Ogos..

Menteri Kanan Luar Negeri, Hishammuddin Hussein, berkata keputusan memberikan kemudahan itu dibuat secara berhati-hati berdasarkan pelaksanaan PPN dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, ia memfokus kepada kesihatan, keselamatan, ekonomi, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Dengan kebenaran untuk memanfaatkan beberapa kemudahan ini, kerajaan berharap rakyat khususnya mereka yang sudah lengkap divaksinasi, akan berasa sedikit lega.

“Kerajaan sedar ada kebimbangan, terutama susulan penularan varian baharu seperti Delta. Kerajaan sudah tentu melakukan pemerhatian teliti mengenai perkara ini.

“Ia termasuk mengambil kira data penilaian risiko diperoleh Kementerian Kesihatan (KKM). Salah satu dapatan penting berhubung angka harian kes ialah 96 peratus daripadanya berada dalam Kategori Satu dan Dua, sekali gus menunjukkan vaksin dibekalkan di negara ini adalah berkesan,” katanya pada sidang media secara maya.

Hishammuddin turut menggesa orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan diri.

Pada masa sama, setiap SOP ditetapkan agensi dan kementerian berkaitan mesti dipatuhi sebaik mungkin.

Related posts

Leave a Comment