Mantan PM Presiden Sri Lanka

COLOMBO: Walaupun didesak meletak jawatan, Ranil Wickremesinghe yang juga mantan Perdana Menteri dan  kemudiannya memangku jawatan Presiden Sri Lanka akhirnya dipilih sebagai presiden untuk tempoh sehingga 2024.

Menurut kiraan undi Parlimen pada hari ini,  Wickremesinghe meraih 134 undi dalam undian tiga penjuru untuk menggantikan Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri dari negara dibelenggu krisis itu dan meletakkan jawatan minggu lalu.

Pencabar utama Wickremesinghe, Dullas Alahapperuma, meraih 82 undi manakala ahli politik berhaluan kiri, Anura Dissanayake, hanya menerima tiga undi – sekali gus memberikan Wickremesinghe majoriti mutlak sebagai pilihan pertama.

Wickremesinghe berharap untuk mengangkat sumpah jawatan pada lewat hari ini dalam satu upacara ringkas di bangunan parlimen yang dikawal ketat.

Speaker Mahinda Abeywardana menyifatkan hari ini sebagai detik bersejarah, bukan sahaja untuk parlimen tetapi buat seluruh negara.

“Seluruh dunia sedang memerhatikan kami hari ini sedang kami melantik seorang presiden baru.”, katanya.

Encik Wickremesinghe, seorang peguam yang sudah berkhidmat selaku perdana menteri Sri Lanka untuk rekod enam kali, sebelum ini pernah bertanding bagi jawatan presiden dua kali tetapi tidak berjaya.

Namun, beliau memperolehi cukup undi dalam kalangan penggubal dasar meskipun menguasai hanya satu kerusi – sebagai ketua Parti Nasional Bersatu.

Wickremesinghe juga baru-baru ini berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan menjalinkan hubungan kerja bersama negara-negara penyumbang utama seperti India.

Kemenangan Wickremesinghe, mungkin mencetuskan lebih banyak tunjuk perasaan oleh penduduk yang marah dengan elit pemerintah setelah berbulan-bulan mengalami kekurangan bahan api, makanan serta ubat-ubatan yang teruk.

Related posts

Leave a Comment