KKM agih ubat ke klinik swasta

PUTRAJAYA 20 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mula mengagihkan simpanan ubat tertentu dari klinik kerajaan kepada klinik swasta yang melaporkan kekurangan ubatan tertentu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata buat permulaan pihaknya mengagihkan ubat jenis paracetamol kepada klinik swasta berkenaan sebagai langkah  mengatasi masalah kekurangan bekalan ubat di fasiliti berkenaan.

“Jika anda diminta membeli PCM (paracetamol) di klinik swasta (tetapi) berlogo KKM, ia adalah wajar kerana ia daripada stok simpanan kerajaan,” katanya dalam ciapan Twitter hari ini.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan kepada klinik dan hospital swasta untuk menangani isu kekurangan bekalan ubat di fasiliti kesihatan berkenaan.

Katanya, setakat ini masih ada fasiliti antaranya klinik swasta yang tidak mendapat bekalan ubat-ubatan untuk batuk dan selesema.

Sehubungan itu, KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan yang berdepan masalah bekalan.

Selain itu, Khairy turut memaklumkan pesakit di hospital swasta boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat bagi meneruskan rawatan sekiranya perlu, namun pesakit mungkin memerlukan perubahan regimen ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk.

Langkah akhir adalah pesakit boleh membeli ubat-ubatan berkenaan dari Farmasi Komuniti dengan preskripsi dari klinik atau hospital swasta berkenaan.

Related posts

Leave a Comment