PKR : Johari Abdul tewas lagi

SHAH ALAM 17 Julai – Beberapa orang anggota Parlimen tewas dalam pemilihan bagi mengisi jawatan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam yang keputusannya diumumkan hari ini.

Mereka termasuklah anggota Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul yang sebelum ini tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Sungai Petani, selepas dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Ooi Tze Min.

Tze Min bagaimanapun tewas dalam pemilihan MPP PKR kali ini, selepas namanya tidak diumumkan JPP yang membentang keputusan pada Kongres Nasional PKR 2022 berlangsung di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) hari ini.

Turut tewas adalah Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari ; Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui dan ADUN Batu Maung, Abdul Halim Hussain.

Kesemua mereka termasuk Tze Min adalah dalam senarai calon pilihan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.

Keputusan pemilihan PKR itu juga menyaksikan tiada pemimpin mewakili masyarakat India menang bagi mengisi 20 jawatan MPP serta lima jawatan utama iaitu Timbalan Presiden PKR dan empat Naib Presiden PKR.

Seramai 74 calon terdiri daripada pelbagai jawatan di peringkat pusat dan negeri menawarkan diri bagi merebut 20 tempat dalam MPP sebaik tempoh pencalonan ditutup jam 12 tengah malam, 31 Mei lalu.

Proses pemilihan 20 jawatan MPP itu dilaksana semalam, bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang.

Pemilihan dibuat secara fizikal membabitkan lima perwakilan yang dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, dua calon dari Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang dan empat orang dipilih dari Mesyuarat Agung Tahunan AMK Cabang.

Related posts

Leave a Comment