Khairy tidak pasti laluan untuk menjadi PM

KUALA LUMPUR : Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin masih menaruh harapan untuk menjadi perdana menteri suatu hari nanti tetapi tidak pasti bagaimana laluannya selepas dipecat UMNO pada Jumaat lalu.

“Ya, saya masih mahu memimpin negara ini suatu hari nanti. Bagaimana saya boleh ke sana, saya tidak tahu,” katanya.

Beliau memahami bahawa politik bukanlah jalan yang mendatar dan ada pelbagai halangan yang perlu dilalui sebelum boleh muncul sebagai pemimpin, bukan saja dalam parti malah sebagai pemimpin negara.

Khairy pertama kali berkongsi aspirasinya untuk menjadi bakal perdana menteri semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh itu kalah dalam pertandingan enam penjuru dengan kerusi itu dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan.

Sambil mengulangi tidak akan merayu hukuman pemecatan itu, Khairy yang 23 tahun berkhidmat dalam politik UMNO berkata, politik adalah sesuatu yang serius dan masih mahu terlibat dalam bidang itu.

“Bila dan di mana saya akan kembali dalam barisan hadapan politik, itu saya memerlukan sedikit masa,” katanya dalam satu program bual bicara Breakfast Grille di radio BFM pagi ini.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (BN) turut menyatakan kesudian untuk menerima Khairy menyertai parti itu, termasuk parti komponennya membabitkan Bersatu dan Gerakan.

Khairy bagaimanapun berkata, beliau memerlukan masa untuk bergerak ke hadapan, melihat kepada realiti, dan perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Katanya , membuang UMNO terus dari hidupnya bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi selepas mengabdikan diri selama 23 tahun dengan parti yang sama dan lebih sukar, beliau dipecat, bukannya mengundurkan diri.

Bekas Menteri Kesihatan itu bagaimanapun tidak menolak untuk kembali kepada UMNO satu hari nanti, tetapi, ia hanya akan berlaku jika parti Melayu itu melaksanakan perubahan dan bukan lagi entiti yang sama seperti hari ini.

“Tetapi kemerosotan UMNO sudah bermula lama dahulu, saya takut ia sudah sampai ke titik tiada jalan kembali. Jika saya terfikir untuk kembali ke UMNO, ia mesti menjadi entiti yang sangat berbeza daripada hari ini,” katanya.

Beliau juga akan mempertimbang parti yang dapat memenuhi wawasannya untuk negara, antaranya yang menawarkan inklusif, tatakelola pentadbiran yang baik, progresif serta kukuh, selesa dan sesuai dengan dirinya.

“Sudah tentu, menyertai parti politik baharu akan menjadi janggal pada mulanya kerana mungkin, anda pernah bertelagah pada satu ketika sebagai parti lawan, tetapi itulah politik. Ia tentang memenangkan dan meyakinkan orang lain.

“Saya fikir saya bersedia untuk itu, tetapi ia perlu sejajar dengan visi dan bukan hanya mengambil kesempatan serta merebut peluang saja,” katanya.

Mengenai pertemuan beliau dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, dan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, sekali gus berkemungkinan membuat pilihan menyertai parti itu, Khairy berkata, beliau mengadakan banyak perjumpaan dengan pelbagai pihak.

Dalam nada bergurau Khairy juga memaklumkan, jadualnya penuh sepanjang minggu ini dengan jemputan makan tengah hari.

“Saya akan berjumpa sesiapa yang mahu berjumpa… saya akan mendengar apa yang mereka mahu katakan dan saya tidak kekurangan jemputan makan tengah hari, minggu ini. Saya tidak fikir saya perlu membayar untuk makan tengah hari minggu ini.

“Tetapi saya tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan. Jadi izinkan saya mengambil masa dan saya sangat terbuka dengan sesiapa yang ingin bertemu,” katanya lagi.

Ditanya sama ada beliau akan menubuhkan parti baharu, Khairy berkata, perkara itu berkemungkinan boleh dipertimbangkan, namun mahu mendengar tawaran dan peluang daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu terlebih dahulu.

Beliau juga mengakui mendapat beberapa tawaran selain politik termasuk akademik, perniagaan dan korporat.

“Semua orang tahu saya suka bola sepak dan bebas untuk menukar haluan jadi saya sedang lihat kelab yang sesuai dan menimbang pilihan dan peluang yang ada untuk maju ke hadapan,”, katanya.

Related posts

Leave a Comment