2,000 pekerja Bangladesh dibawa masuk

PUTRAJAYA 14 Julai – Sebanyak 2,000 pekerja Bangladesh akan dibawa masuk setelah proses pengesahan merangkumi 15 syarikat sudah diselesaikan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KSM) proses ini dijangka meningkat pada minggu akan datang.

“Ini menunjukkan isu teknikal yang dihadapi sebelum ini bagi proses pengambilan pekerja warga Bangladesh ke negara ini sudah dapat ditangani,” kata kenyataan itu hari ini.

KSM berkata, majikan yang sudah membayar levi dan bercadang untuk menggajikan pekerja warga Bangladesh boleh memanjangkan permohonan ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur bagi memohon pengesahan penggajian dan dokumentasi seperti Kontrak Pekerjaan serta Pesanan Kerja (Job Order) bagi pekerja.

Bagaimanapun, kementerian itu menegaskan kemasukan pekerja warga Bangladesh berkenaan tertakluk kepada saringan keselamatan dan kesihatan termasuk pematuhan syarat-syarat Jabatan Imigresen.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dilaporkan berkata, isu kemasukan pekerja Bangladesh sudah diselesaikan melalui perjumpaannya dengan beberapa pemimpin Bangladesh ketika sesi lawatannya ke negara berkenaan baru-baru ini.

Related posts

Leave a Comment