Jemaah Malaysia pulang mulai 17 Julai

MAKKAH 14 Julai – Jemaah haji Malaysia akan pulang ke tanah air bermula 17 Julai ini melalui lapangan terbang Jeddah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  Idris Ahmad.

Beliau memberitahu, penerbangan terakhir pula dijangka pada 12 Ogos iaitu selepas kumpulan jemaah terbabit selesai menziarahi Madinah.

“Seramai 14,305 jemaah negara telah mengerjakan haji dan mereka terdiri daripada 85 peratus di bawah pakej muassasah dan 15 peratus di bawah pakej Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen di bawah Lembaga Tabung Haji (TH),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Idris berkata, tamat musim haji tahun ini, TH akan terus membuat persiapan untuk musim haji tahun 2023 dan beliau yakin agensi itu akan mempertingkatkan perkhidmatan serta menambah baik gerak kerja demi kebaikan jemaah.

Katanya, beberapa perkara telah dibincangkan bersama kerajaan Arab Saudi terutama membabitkan kos mengerjakan ibadah itu yang naik secara mendadak baru-baru ini.

“Pada minggu lepas, saya dapat berjumpa dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dan di dalam pertemuan itu juga saya berkongsi kerisauan jemaah dan juga TH tentang kenaikan kos menunaikan haji.

“Kos haji pada tahun ini yang pada mulanya dianggarkan sebanyak RM25,540 sebenarnya telah naik kepada RM28,000 bagi seorang jemaah. Ini disebabkan beberapa caj baru dan peningkatan kos sedia ada oleh syarikat pengurusan muassasah serta agensi-agensi lain di Arab Saudi,” katanya.

Keadaan inflasi yang berlaku di seluruh dunia turut menjadi kerisauan beliau terutama dalam urusan ibadah haji dan pihak TH perlu menerima realiti bahawa kenaikan kos berlaku setiap tahun.

Bagaimanapun, Idris berkata dalam masa sama TH perlu mencari jalan supaya bayaran ibadah itu tidak membebankan bakal haji Malaysia dan meneruskan bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah yang memerlukan.

Bagaimanapun bakal haji yang memang mampu disaran untuk membayar penuh kos haji atau jika mahu boleh pilih pakej swasta.

(Foto TH di Mina)

Related posts

Leave a Comment