Sebutan kes Siti Nuramira 18 Ogos

KUALA LUMPUR 13 Julai – Siti Nuramira Abdullah, wanita tular di media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Wanita yang masih bujang dan bekerja sebagai pegawai eksekutif di syarikat teknologi maklumat itu dikenakan tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam atas perbuatannya pada 4 Jun lalu.

Sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, tertuduh mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, Siti Nuramira, 26, didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Restoran Crack House Comedy Club, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields,pukul 6 petang.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu perbuatan berkenaan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama, di antara orang yang menganut agama sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Peguam tertuduh, R Sivaraj memohon anak guamnya dikenakan jaminan minimum RM4,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis mengikut keperluan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Selain Sivaraj, tertuduh juga diwakili peguam, Shaharudin Ali dan Ramesh N P Chandran.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM50,000 atas alasan kes itu mendapat perhatian secara meluas.

Katanya, kadar jaminan rendah boleh menjejaskan pandangan masyarakat terhadap sistem perundangan dan badan kehakiman.

Syarat tambahan lain tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap minggu atau setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Selain itu, arahan larangan daripada mahkamah supaya tertuduh tidak membuat kenyataan perjalanan kes di media sosial dan cetak,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pembelaan dan pendakwaan.

“Melaporkan diri di Balai Polis Brickfields setiap bulan dan tertuduh diberi pelepasan untuk mengambil pasport di rumah selepas selesai proses ikat jamin untuk menyerahkannya kepada mahkamah,” katanya.

Sebutan kes ditetapkan pada 18 Ogos ini.

Siti Nuramira tidak bertudung dan memakai kot hitam dan baju kuning tiba pukul 9 pagi dengan tangan bergari, sebelum diiringi dua anggota polis dibawa masuk ke mahkamah.

Related posts

Leave a Comment