7 peneroka dikenakan sekatan EU

BRUSSELS – Tujuh peneroka dan organisasi Israel dikenakan sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU) susulan keganasan terhadap rakyat Palestin serta peluasan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Menteri Luar EU pada 11 Mei lalu bersetuju melaksanakan sekatan itu selepas ia sebelum ini tertangguh akibat bantahan bekas Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.

Bagaimanapun penyingkirannya pada pilihan raya umum terbaharu negara itu membuka laluan untuk veto berkenaan ditarik balik.

Sekatan itu merangkumi larangan perjalanan dan pembekuan aset, selain warga serta syarikat EU turut dilarang menyediakan dana, aset kewangan atau sumber ekonomi lain kepada individu yang disenaraikan.

Antara individu yang dikenakan sekatan ialah Daniella Weiss, tokoh utama dalam gerakan peneroka Israel.

Selain itu EU turut mengenakan sekatan terhadap 10 wakil kumpulan pejuang Palestin, Hamas, menurut Majlis Eropah yang mewakili 27 negara anggota.

Sebelum ini EU juga berdepan tekanan daripada Sepanyol dan Itali supaya mengenakan sekatan terhadap Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir, yang memuat naik video menunjukkan aktivis flotila bantuan menuju ke Gaza dipaksa melutut dengan tangan diikat ketika ditahan.

Related posts

Leave a Comment