Penjelasan awal elak pelbagai tafsiran

IPOH: MCA berpuas hati dengan penerangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan memaksa golongan bukan Islam menghafal atau mendalami modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Perdana Menteri telah menghurai dan menerangkan apa maksud sebenar tentang modul itu dan semalam juga kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang ia lebih jelas.

“Penjelasan Perdana Menteri dan kenyataan yang menjelaskan berhubungnya dikeluarkan oleh KPM hanya pada petang semalam, tetapi perkara (isu) ini sudah timbul sejak beberapa hari lalu. Jadi sepatutnya ini dijelaskan lebih awal,” katanya.

Menurut Ka Siong, apa yang menjadi reaksi masyarakat ialah sebelumnya perkataan yang digunakan bagi pengenalan modul itu adalah ‘projek rintis’ yang kemudiannya akan diperluaskan.

“Maka sudah tentu ia akan terdedah kepada penterjemahan dan penafsiran yang berlainan. Rakan media juga menggunakan perkataan ‘rintis’ dan ‘akan diperluaskan’ dalam laporan berita, jadi masing-masing tidak tahu apa yang dimaksudkan diperluas itu bagaimana.

“Adakah diperluaskan kepada pelajar dalam subjek itu sendiri atau ada silibusnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Perak tahun 2023 di sini, hari ini.

Katanya, penjelasan perlu dibuat daripada awal memandangkan perkataan ‘rintis’ dan ‘diperluaskan’ yang diguna, membuatkan ramai masyarakat bukan Islam tidak faham kerana penjelasannya dilihat tergantung di situ sahaja.

Semalam, Anwar dilapor berkata, Kerajaan Perpaduan tidak akan memaksa golongan bukan Islam menghafal atau mendalami himpunan Hadis 40 Imam Nawawi serta menegaskan pelaksanaan modul itu berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama pada masa depan.

Anwar turut menegaskan modul penghayatan hadis itu hanya untuk guru serta pelajar beragama Islam, dengan inisiatif menerbitkan semula koleksi hadis berkenaan adalah usaha memupuk kefahaman agama dalam kalangan umat Islam sendiri terutamanya generasi muda.

Related posts

Leave a Comment