Peningkatan ketara kes Covid-19

PUTRAJAYA 11 Julai – Beberapa indikator situasi Covid-19 negara menunjukkan peningkatan ketara pada Minggu Epidemiologi 27/2022 (ME 27/2022) bagi tempoh 3 Julai hingga kelmarin, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes baharu Covid-19 meningkat 27.9 peratus berbanding minggu sebelumnya, iaitu daripada 16,694 kes kepada 21,355 kes.

Katanya, peningkatan itu membabitkan kes penularan tempatan iaitu 28.1 peratus bersamaan 16,650 kes kepada 21,325 kes.

Bilangan kematian disebabkan jangkitan berkenaan turut meningkat 46.2 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada 26 kes kepada 38 kes.

“Bilangan kes aktif setiap hari bagi ME 27/2022 adalah 32,145 kes iaitu peningkatan 11 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bilangan kes sembuh turut meningkat 14.6 peratus, iaitu daripada 14,293 kes kepada 16,379 kes.

Mengenai kemasukan pesakit ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk, Dr Noor Hisham berkata, ia meningkat 15 peratus.

Pesakit kategori satu dan dua meningkat 14 peratus manakala bagi pesakit kategori tiga hingga lima meningkat 17 peratus, sekali gus meningkatkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada kadar satu peratus serta penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sebanyak dua peratus.

Bagaimanapun, tiada perubahan kepada penggunaan katil bukan kritikal. Bilangan kedatangan pesakit ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) meningkat 27.8 peratus manakala bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah turut meningkat 12.6 peratus.

Bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital meningkat sebanyak 67.5 peratus.

Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 27/2022 meningkat 23.4 peratus berbanding pada akhir ME 26/2022 (dari 43,203 kes kepada 53,306 kes).

Mengenai pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) membabitkan kes Covid-19, beliau berkata, survelan di lokasi sentinel seluruh negara menunjukkan peningkatan.

Kadar positif sampel ILI bagi Covid-19 pada ME 27/2022 meningkat 94.5 peratus daripada 5.5 peratus pada ME 26/2022 kepada 10.7 peratus pada ME 27/2022 manakala kadar positif sampel SARI bagi Covid-19 kekal 0 peratus pada ME 27/2022.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan masyarakat bahawa Covid-19 masih menjadi musuh utama dan usaha memerangi penyakit Covid-19 diteruskan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan sesak bagi melindungi golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

Related posts

Leave a Comment