PN guna logo baharu PRU-15

IPOH 11 Julai – Perikatan Nasional (PN) akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Langkah itu adalah susulan cadangan mengubah suai logo sedia ada yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, dua minggu lepas.

“Kita akan buat penambahbaikan dan ada simbol yang digunakan. Kita akan perkenalkan dan dimaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya,

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Rakyat Aidiladha PN Perak di sini, hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, berhubung penggunaan logo baharu parti itu bagi menghadapi PRU-15, baru-baru ini.

Presiden Bersatu itu berkata, perkara berkenaan sedang diteliti oleh Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin.

“Apa yang saya faham maksud beliau (Abdul Hadi) merujuk kepada keputusan Majlis Tertinggi PN yang mencadangkan beberapa perubahan dibuat ke atas logo diguna pakai ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Amzad Hashim, membayangkan parti itu menggunakan logo sendiri untuk calonnya bertanding pada PRU-15 di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala logo PN di negeri lain.

Muhyiddin berkata, selaras penggunaan logo baharu itu, perlembagaan PN perlu dipinda.

Related posts

Leave a Comment