Lebih 6,000 kes cacar monyet

LONDON 7 Julai – Lebih 6,000 kes cacar monyet kini dilaporkan di 58 negara berdasarkan penularan sekarang ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO bakal mengadakan semula sidang jawatankuasa yang akan memberi nasihat mengenai mengisytiharkan penularan itu sebagai kecemasan kesihatan global, tahap waspada tertinggi WHO.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di Geneva berkata, sidang itu dijangka bermula 18 Julai atau lebih awal dari itu.

Di sidang sebelum itu pada 27 Jun, jawatankuasa tersebut memutuskan bahawa penularan itu, yang menyaksikan jumlah kes meningkat di kedua-dua negara-negara Afrika di mana ia biasanya merebak dan juga peringkat global, belum lagi diumumkan sebagai satu kecemasan kesihatan.

Katanya, sekitar 80 peratus kes dilaporkan di Eropah.

Cacar monyet, jangkitan virus yang biasanya ringan dan menyebabkan gejala seperti selesema dan luka pada kulit, kian menular di seluruh dunia sejak awal bulan Mei.

Kadar kematian dalam wabak sebelumnya di Afrika bagi cacar monyet yang kini menular adalah sekitar 1 peratus, tetapi sejauh ini penularannya tidak begitu membawa maut di negara-negara bukan endemik

Related posts

Leave a Comment