Sediakan penerbangan percuma KL-Singapura

KUALA LUMPUR 22 Dis. –  Sediakan penerbangan percuma kepada rakyat Malaysia ke Singapura berbanding melaksanakan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang didakwa tidak mempunyai nilai kewangan kepada negara.

Itu saranan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berhubung desakan supaya kerajaan memulakan semula projek HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura sebagai alternatif pengangkutan.

Beliau berkata, kerajaan mampu berbuat demikian berbanding melaksanakan semula projek mega yang dianggar membabitkan kos kira-kira RM80 bilion termasuk untuk pengambilan tanah, namun belum lagi dikira nilai faedah.

“Jadi (penerbangan) KL-Singapura Changi adalah laluan udara paling sibuk di dunia. Ia membabitkan 4.9 juta tempat duduk. Mengandaikan lebih kurang RM400 (nilai) bagi satu kerusi, ia akan membabitkan kurang RM2 bilion nilai tiket penerbangan setahun,” katanya.

Menurut Pua, semakan yang dibuat beliau menunjukkan jika kerajaan akan membiayai HSR, sebanyak kira-kira RM80 bilion diperlukan termasuk kos pengambilan tanah dan lain-lain tetapi belum termasuk nilai faedah.

Dalam hantaran di Facebooknya, Pua berkata, dengan kadar faedah lima peratus, kerajaan akan menanggung sejumlah RM4 bilion hanya dalam bentuk faedah setahun untuk projek HSR.

“Jadi jika hanya rakyat Malaysia yang mendapat (tiket) secara percuma, maka kita akan jimat lebih banyak…. malah boleh menawarkan lebih banyak penerbangan percuma,” katanya.

Pua juga menegaskan, apa pun pengiraannya, contoh yang diberikannya itu menggambarkan semak imbang terhadap realiti yang jelas mengapa HSR yang tidak sedikit pun memberi nilai kewangan kepada Malaysia.

Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk membina projek berkenaan membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer (km) yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Namun, pada 1 Januari 2021, kedua-dua negara mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila masing-masing gagal mencapai persetujuan bagi perubahan dicadangkan Malaysia, sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan membayar SG$102.8 juta kepada Singapura selaku kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan pelanjutan penangguhannya.

Related posts

Leave a Comment