Jemaah sedia wukuf di Arafah

MAKKAH: Hampir semua jemaah dari seluruh dunia sudah berada di Tanah Suci Makkah bagi melakukan ibadah haji dengan bersiap sedia untuk berwukuf di Arafah, esok, Jumaat.

Ibadah haji terbesar sejak wabak Covid-19 bermula semalam dengan ratusan ribu jemaah yang kebanyakannya tidak memakai pelitup muka dijangka memenuhi lokasi paling suci bagi umat Islam untuk menunaikan haji.

Sejuta umat Islam yang sudah divaksin sepenuhnya termasuk 850,000 dari luar negara dibenarkan menunaikan haji tahun ini, selepas jumlah itu dikurangkan secara drastik akibat pandemik Covd-19.

Ibadah haji tahun ini lebih besar daripada 2020 dan 2021 tetapi kapasitinya dianggap masih kecil berbanding sebelum ini.

Pada 2019, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia menyertai Ibadah ini tetapi selepas itu, wabak Covid-19 memaksa pengecilan saiz jemaah bagi mengekang penularan.

Hanya 60,000 rakyat dan penduduk Arab Saudi yang diberi vaksin sepenuhnya mengambil bahagian pada 2021, meningkat daripada beberapa ribu berbanding 2020.

Ibadah itu adalah acara keagamaan yang diselesaikan selama lima hari di kota paling suci Islam dan sekitarnya di barat Arab Saudi.

Hari ini, jemaah haji bergerak ke Mina yang terletak kira-kira lima kilometer dari Masjidilharam menjelang acara kemuncak di Arafah, di mana Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya.

Haji tahun ini dihadkan kepada umat Islam yang bawah usia 65 tahun dan lengkap divaksinasi sebelum dipilih daripada jutaan pemohon melalui sistem dalam talian.

Related posts

Leave a Comment