Boris Johnson letak jawatan PM Britain

LONDON 7 Julai – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson bersetuju meletak jawatan hari ini  Khamis selepas kerajaan pimpinannya dikejutkan dengan beberapa siri peletakan jawatan sejak dua hari lalu.

Johnson berkata proses memilih pemimpin baharu akan diumumkan minggu depan dan dalam tempoh itu, beliau akan terus memegang jawatan itu sehingga pemimpin baharu dipilih.

“Sekarang sudah jelas kehendak Parti Konservatif iaitu perlu ada pemimpin dan perdana menteri baharu, dan saya bersetuju…proses memilih pemimpin baharu itu harus bermula sekarang,” kata Johnson

Beliau berkata berjuta-juta orang mengundi parti itu pada 2019 dan berterima kasih atas mandat yang luar biasa itu serta majoriti terbesar diperoleh sejak 1987.

“Itu sebab saya berjuang bermati-matian beberapa hari kebelakangan ini untuk meneruskan mandat itu bukan hanya kerana saya mahu berbuat demikian tetapi saya merasakan ia adalah tugas saya.

“Saya kesal kerana tidak berjaya dalam hujah saya dan sudah tentu ia amat menyakitkan apabila tidak dapat menyaksikan dan meneruskan idea dan projek,” katanya semasa berucap di luar Nombor 10 Downing Street.

Perletakan jawatan Johnson dibuat selepas 59 Ahli Parlimen berundur daripada kerajaannya dalam tempoh 48 jam yang lalu.

Johnson terpalit dengan skandal yang tidak berkesudahan selama berbulan-bulan.

Beliau juga menjadi perdana menteri pertama Britain dalam sejarah yang didenda polis kerana melanggar undang-undang dengan menghadiri parti pada 2020 semasa sekatan pergerakan Covid-19.

Walaupun terselamat daripada undi tidak percaya baru-baru ini, tetapi lebih 40 peratus anggota partinya mahu beliau berundur.

Skandal terbaharunya melibatkan pelantikan Christopher Pincher sebagai timbalan ketua whip walaupun terdapat aduan mengenai salah laku seksual terhadap Ahli Parlimen itu.

Sokongan terhadap Johnson merosot dalam 24 jam yang paling bergelora dalam sejarah politik Britain baru-baru ini, dengan Menteri Kewangan Nadhim Zahawi, yang baru dilantik pada Selasa (5 Jul), mendesak pemimpinnya itu meletakkan jawatan.

Zahawi dan para menteri Kabinet lain turun padang ke Downing Street pada lewat petang Rabu (6 Jul), bersama-sama wakil kanan para penggubal undang-undang yang bukan dalam kerajaan, untuk memberitahu Johnson bahawa masanya sudah tiba untuk mengundurkan diri.

Johnson enggan mengalah dan seolah-olah bersedia untuk mempertahankan jawatannya, dengan memecat Michael Gove – seorang ahli menteri kanannya yang merupakan antara yang pertama mendesak beliau meletak jawatan.

Menjelang pagi Khamis, ketika khabar tentang peletakan jawatan para menteri kanannya meningkat, kedudukan Johnson selaku perdana menteri tidak mampu dipertahankan lagi.

(foto fb)

Related posts

Leave a Comment