Lagi kes import cacar monyet di Singapura

SINGAPURA 7 Julai – Kementerian Kesihatan (MoH) mengesahkan satu lagi kes import jangkitan cacar monyet di Singapura, melibatkan lelaki warganegara India berusia 36 tahun.

Dalam kemas kini situasi cacar monyet, MoH menyatakan lelaki yang menetap di Singapura itu baru-baru ini pulang ke sini dari Amerika Syarikat (AS) dan

dimasukkan ke dalam wad di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

“Lelaki itu mengalami rasa tidak selesa pada bahagian dubur pada 28 Jun dan gejala lain termasuk ruam biasa dikaitkan dengan cacar monyet secara bertahap-tahap sepanjang beberapa hari,” menurut MoH.

Lelaki itu mendapatkan jagaan perubatan pada Rabu dan dibawa ke NCID pada hari yang sama. Beliau diuji positif bagi cacar monyet pada Khamis dan kini dalam keadaan stabil manakala pengesanan kontak sedang dijalankan.

Singapura melaporkan kes cacar monyet yang pertama, iaitu kes import, setelah seorang warga Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pramugara diuji positif penyakit itu pada bulan lalu.

Pada Rabu, 6 Julai Singapura melaporkan jangkitan tempatan pertama cacar monyet melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun yang tinggal di Singapura.

 

 

Related posts

Leave a Comment