Tiada pelekat ‘VIP’ bas jemaah haji

MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengeluarkan arahan supaya syarikat perkhidmatan haji tempatan tidak meletak pelekat ‘VIP’ (Orang Penting atau Kenamaan) pada bas yang digunakan bagi membawa jemaah.

Kapasiti setiap bas pula tidak melebihi jumlah jemaah yang diperuntukkan, dan perlu ada sebuah bas rizab bagi setiap 500 jemaah.

Arahan itu terkandung dalam manual prosedur kawal selia yang dikeluarkan kementerian itu kepada syarikat dan pertubuhan tempatan yang menyediakan khidmat haji tahun ini.

Menurut laporan Saudi Gazette, penyedia perkhidmatan juga seharusnya mendapatkan permit bagi kemasukan bas berlesen ke Tanah Suci.

Bas itu dikehendaki menjalani pemeriksaan berkala. Menyewa bas dari luar Arab Saudi tidak dibenarkan sama sekali dalam apa jua keadaan.

Pada masa yang sama bas itu juga tidak boleh digunakan bagi pengangkutan domestik penumpang antara bandar atau dalam kawasan Tanah Suci, selain daripada pengangkutan jemaah yang sudah ditetapkan.

Kementerian itu menarik perhatian bahawa semua bas lama dengan kadar pelepasan ekzos tinggi akan disita di pintu masuk ke Makkah.

Polis trafik akan mengesahkan, melalui peranti mudah alih, nisbah pelepasan ekzos bas berkenaan dan berdasarkan itu, kenderaan akan disita atau didenda bagi pelanggaran yang dilakukan.

Bagi bas yang terletak di dalam kota Makkah, ia akan disimpan di satu lokasi dan tidak dibenarkan bergerak keluar bagi mengelak ia menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

Arahan dalam manual itu juga termasuk mengenal pasti jemaah haji tempatan, yang akan dibawa oleh bas berlesen, dan menulis nama mereka dalam penyata pengangkutan yang mengandungi data peribadi jemaah, serta nombor permit haji, nama syarikat yang menyediakan perkhidmatan dan nombor lesennya.

Ini demi memastikan jemaah dan bas berkenaan sahih dan dibenar menunaikan haji tahun ini.

Kira-kira sejuta orang, termasuk 850,000 dari luar negara, dibenarkan menunaikan haji tahun ini seperti biasa selepas dua tahun bilangan jemaah dikurangkan akibat pandemik Covid-19.

Sehingga Ahad lalu, sekurang-kurangnya 650,000 jemaah haji luar negara tiba di Arab Saudi.

Pada 2019, sebelum Covid-19 bermula, sekitar 2.5 juta orang menunaikan ibadah haji setiap tahun, termasuk tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidilharam , berkumpul di Padang Arafah dan melontar jamrah di Mina.

Pada tahun berikutnya, rakyat asing dilarang dan jemaah haji tempatan dihadkan kepada hanya 10,000 orang akibat ancaman coronavirus.

Tahun lalu, bilangan itu meningkat kepada 60,000 rakyat dan warga asing yang menetap di Arab Saudi yang sudah divaksin sepenuhnya.

Related posts

Leave a Comment