WASHINGTON – Usaha pentadbiran Presiden Donald Trump merombak kompleks White House terhalang apabila Mahkamah Rayuan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan pembinaan sebuah dewan majlis dihentikan.
Projek itu dibina di tapak bekas Sayap Timur White House yang telah dirobohkan, bernilai AS$400 juta (kira-kira RM1.6 bilion)
Dalam keputusan 2-1 yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan Daerah Columbia pada Jumaat, panel hakim menegaskan, setiap Presiden hanyalah “penghuni sementara” White House dan tidak mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan besar terhadap bangunan bersejarah itu tanpa mendapat kelulusan Kongres.
Keputusan itu mengekalkan injunksi awal yang dimohon National Trust for Historic Preservation, sebuah pertubuhan pemuliharaan warisan yang memfailkan saman tahun lalu selepas pentadbiran Trump merobohkan Sayap Timur dan memulakan pembinaan dewan majlis seluas 90,000 kaki persegi tanpa mendapatkan kebenaran Kongres.
Menurut majoriti panel hakim, keputusan sama ada sebuah dewan majlis berskala besar perlu dibina atau tidak merupakan perkara yang perlu ditentukan oleh Kongres dan bukannya tindakan unilateral cabang eksekutif.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan keputusan itu selama 14 hari bagi memberi ruang kepada pentadbiran Trump mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung AS.
Presiden National Trust for Historic Preservation, Brent Leggs, menyambut baik keputusan berkenaan dan menyifatkannya kemenangan penting buat rakyat Amerika dalam mempertahankan lokasi bersejarah yang menjadi kebanggaan negara, termasuk White House.
Trump, yang kebelakangan ini mendakwa projek berkenaan penting dari sudut keselamatan negara, menyifatkan bangunan itu sebagai “pusat ketenteraan” dan mengesahkan pentadbirannya akan membuat rayuan ke Mahkamah Agung.
Dalam hantaran di platform Truth Social, beliau menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai “mengerikan” dan bermotifkan politik, selain mendakwa ia mendedahkan dirinya, pegawai White House dan para pelawat kepada ancaman serangan.
Menurut Trump, pelan pembinaan tersebut merangkumi kemudahan perlindungan bom, pusat perubatan, sistem perlindungan daripada dron dan peluru berpandu serta ciri keselamatan lain yang saling berkait sebagai satu kompleks keselamatan bersepadu.
Nnnn
