Bersatu masih anggota PN, bakal rujuk ROS

SEPANG 7 Ogos – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan ia masih anggota sah Perikatan Nasional (PN) dan dakwaan bahawa keanggotaannya dalam gabungan itu tergugur secara automatik adalah bercanggah dengan perlembagaan parti.

Setiausaha Agungnya, Mohamed Azmin Ali, berkata tiada mana-mana fasal dalam perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti anggota boleh tergugur dengan sendirinya.

Beliau berkata, mengikut Fasal 7A perlembagaan PN, kedudukan sesuatu parti anggota hanya boleh dimuktamadkan melalui keputusan Majlis Presiden.

“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan BERSATU dalam PN. Justeru, BERSATU masih parti anggota PN yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang, memaklumkan keahlian Bersatu dalam gabungan PN terlucut secara automatik selepas Presidennya, Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan gabungan baharu.

Keputusan itu katanya, mengambil kira perlembagaan parti berkait penyertaan dalam gabungan lain.

Azmin dalam pada itu mendakwa bahawa Abdul Hadi tidak mempunyai hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PN malah menyifatkan Presiden Pas itu tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN.

“Setiap parti anggota mempunyai hak yang diperuntukkan di bawah Fasal 7 Perlembagaan PN, termasuk hak menghadiri, memberi pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Badan Perhubungan Negeri serta Badan Perhubungan Kawasan,” katanya.

Azmin mendakwa PN yang kini dikuasai Pas tidak lagi menjunjung perlembagaan gabungan berkenaan selain mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik dengan bertindak secara semberono dan tidak demokratik.

Beliau turut mendakwa tindakan Pengerusi PN,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN,  Takiyuddin Hassan menghalang wakil Bersatu menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu adalah bertentangan dengan perlembagaan gabungan itu.

Katanya, mesyuarat berkenaan membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi serta kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan.

Justeru Bersatu akan mengemukakan aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung dakwaan pelanggaran serius terhadap Perlembagaan PN.

Tegasnya, Bersatu akan terus bertindak mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan, di samping mempertahankan prinsip keadilan dan kesederhanaan demi menjamin masa depan Malaysia yang bermaruah dan makmur untuk semua rakyat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment