Suhu Tanah Suci boleh cecah 44 Celcius

RIYADH 6 Julai – Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi mengeluarkan laporan bahawa suhu maksimum di Tanah Suci semasa musim haji tahun ini dijangka mencecah antara 42 hingga 44 darjah Celsius pada siang hari.

Menurut NCM,  beberapa kawasan di situ juga boleh menyaksikan kegiatan angin agak kencang pada waktu siang.

Ini sebagai tambahan pada hakikat bahawa kadar habuk juga mungkin meningkat, dengan kelajuan gerakannya sehingga 35 kilometer sejam (km/j), terutama di kawasan terbuka dan lebuh raya.

Selain itu, ada kemungkinan ribut petir terbentuk di kawasan tinggi di wilayah selatan bandar Makkah semasa tempoh haji kali ini, yang boleh menjejas kawasan Tanah Suci dengan angin berdebu, kata NCM.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Pasukan Keselamatan Awam dan Komander Pasukan Keselamatan Haji, Leftenan Jeneral Muhammad Al-Bassami, menegaskan tiada ruang bagi slogan politik di Tanah Suci semasa musim haji.

“Kementerian Dalam Negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku, apa saja yang menjejas keselamatan dan aspek keselamatan jemaah haji,” katanya dalam satu sidang media kelmarin.

Ketika ditanya mengenai peranan wanita dalam operasi keselamatan haji, Jeneral Al-Bassami berkata: “Fasa klasifikasi antara lelaki dengan wanita kini berakhir kerana integrasi lengkap sudah berlaku”.

Related posts

Leave a Comment