1.9 juta kenderaan dijangka guna PLUS

KUALA LUMPUR 6 Julai – Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari sempena cuti perayaan Aidiladha bermula esok hingga Selasa depan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata jangkaan itu melebihi jumlah 1.8 juta kenderaan sehari pada hari biasa.

Justeru, PLUS menasihatkan pengguna merancang perjalanan dengan menggunakan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan sepanjang tempoh perayaan itu bagi mengelak kesesakan.

“Berdasarkan kajian bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pengguna dijangka mengalami tempoh perjalanan dua kali lebih panjang berbanding perjalanan biasa sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi TTA,” katanya.

Dalam satu kenyataan, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengikuti jadual TTA, merancang perjalanan lebih awal serta membuat persiapan untuk menempuh perjalanan yang dijangka lebih sesak dan panjang.

Katanya, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi pada 7 hingga 10 Julai.

Mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas 1 tengah hari.

Bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri, pengguna lebuh raya pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi, 10 hingga 12 Julai ini.

Beliau berkata, pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka.

Pastikan baki dalam kad Touch ‘n Go atau e-Wallet mencukupi untuk transaksi tol dengan pilihan pembayaran sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID.

Pengguna lebuh raya juga dinasihat memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan selamat untuk perjalanan jauh selain mematuhi had kelajuan di lebuh raya, elakkan memandu terlalu rapat dengan kenderaan lain dan berehat sebentar untuk menyegarkan diri di kawasan rehat dan rawat (R&R).

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi Plus, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara.

Related posts

Leave a Comment