Perjanjian Pertahanan Bersama tiga negara

HYDERABAD – Pakistan, Arab Saudi dan Turkiye menandatangani Perjanjian Pertahanan Bersama bagi memperkukuh pertahanan kolektif terhadap sebarang bentuk pencerobohan.

Perjanjian itu ditandatangani Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan selepas sidang kemuncak tiga hala di Istana Al Safa di Makkah.

Perjanjian ini bertujuan mengukuhkan keupayaan pencegahan kolektif terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan menetapkan bahawa sebarang serangan bersenjata terhadap mana-mana satu daripada tiga negara itu akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya.

Menurut kenyataan bersama, perjanjian memperuntukkan peningkatan dalam semua aspek kerjasama pertahanan antara ketiga-tiga negara berkenaan.

Pakistan, satu daripada sembilan negara di dunia yang memiliki senjata nuklear, sejak sekian lama menikmati hubungan pertahanan yang rapat dengan Turkiye dan Arab Saudi.

Menurut kenyataan bersama itu, perjanjian tiga pihak yang dimeterai di Makkah mencerminkan “komitmen bersama untuk terus mengukuhkan keselamatan kolektif serta menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini dan di luar rantau, demi masa depan yang selamat dan makmur.

Pakistan dan Arab Saudi menandatangani perjanjian pertahanan pada September tahun lepas yang mewajibkan kedua-dua negara saling membantu sekiranya berlaku pencerobohan dari luar.

Related posts

Leave a Comment