334 mangsa banjir Baling dipindah

BALING 5 Julai – Setakat pukul 2 pagi ini, seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di daerah ini dipindahkan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata setakat ini sebanyak 85 rumah dilaporkan terjejas berikutan bencana yang berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam itu.

Katanya, seramai 1,008 pelajar di Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah yang turut terkesan dalam bencana itu berada di sekolah terbabit ketika kejadian dan berada dalam keadaan baik.

“Keadaan air di sekolah itu juga sudah surut, cuma keadaan kawasan sekitar sekolah yang masih berlumpur,” katanya di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini, awal pagi ini.

Beliau berkata, operasi pemindahan penduduk yang terjejas berjalan lancar menerusi pembabitan pelbagai agensi, selain penduduk kampung yang turut membantu.

Selain itu, katanya, semua keperluan termasuk makanan, selimut dan bantal turut disediakan oleh agensi berkaitan dan pihak lain yang menghulurkan bantuan di pusat-pusat pemindahan.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri yang akan dipengerusikan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akan diadakan pagi ini bagi menentukan tindakan lanjut dalam membantu mangsa yang terjejas selain usaha menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

Related posts

Leave a Comment